Feb 04, 2022 - FASSelangor FC dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran jersi 'Away' musim baharu menerusi kempen Let's Cope with A Neon Hope sempena Hari Kanser Sedunia dengan kerjasama TDC Holdings Sdn. Bhd., turut disertai Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Sunway Medical dan Sunway Pyramid.
Pelancaran ini telah diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre pada 4 Februari 2022 dari seawal jam 2 petang sehingga 9 malam. Tarikh 4hb Februari ini merupakan Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap tahun secara rasmi di lebih 60 negara di seluruh dunia untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser serta mendorong pencegahan, pengesanan, dan rawatan penyakit tersebut.
Jersi 'away' 2022 kali ini diinspirasikan daripada perjalanan Ketua Pasukan Selangor FC, Brendan Gan yang berjaya melawan kanser yang dihidapinya pada bulan Julai lalu dan kini telah kembali menjalankan latihan di kem Merah Kuning bersama rakan sepasukan. Selangor FC ingin memberi dorongan dan meningkatkan kesedaran orang ramai akan penyakit kanser secara menyeluruh.
Antara aktiviti menarik yang dianjurkan termasuk pelancaran jersi 'Away' Selangor FC yang terbaru, pengenalan barisan pemain Selangor FC musim 2022, sesi soal jawab bersama Herlison Caion dan Hyuri Henrique, 'Meet & Greet' bersama pemain-pemain Selangor FC serta pemeriksaan kesihatan dan kanser secara PERCUMA bersempena meraikan Hari Kanser Sedunia.
Kempen ini juga bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang kanser kepada orang ramai dan menzahirkan sokongan terhadap semua pejuang kanser di seluruh negara. Tidak lupa juga, kempen ini juga menekankan dan menggalakkan pemeriksaan awal untuk mencegah penyakit ini, serta memberi mesej harapan kepada semua bahawa kanser boleh diatasi dan dirawati.
Selain itu, pihak pengurusan Selangor FC telah sebulat suara untuk menyumbang sejumlah RM5 daripada setiap hasil penjualan jersi Away kit Selangor FC kepada MAKNA dan NCSM untuk membantu mereka meneruskan usaha menangani kanser di Malaysia.
Warna jersi Away 2022 merupakan warna 'Teal', menggabungkan warna biru dan hijau yang membawa maksud pembaharuan dan juga hala tuju yang jelas bagi pasukan Selangor FC menghadapi Liga Malaysia musim baru ini.
Selain itu, tambahan warna 'Fuchsia' pada jersi ini juga amat dekat dengan kempen Hari Kanser Sedunia yang membawa maksud berani, bersemangat serta yakin dan tidak takut untuk berjuang yang merupakan sifat-sifat positif yang mampu menjadi dorongan buat pejuang kanser mengharungi penyakit tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan tentang pemilihan riben kanser sebagai simbol rasmi jersi away 2022.
"Penggunaan riben kanser sebagai simbol utama di belakang jersi away 2022 menunjukkan sokongan Selangor FC kepada pejuang-pejuang yang sedang mengharungi kanser dengan harapan kempen ini dapat menyebarkan kesedaran tentang penyakit itu kepada orang ramai".
"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pihak TDC, MAKNA, NCSM, Sunway Medical dan Sunway. Pyramid sekaligus dapat memperkuatkan lagi pelancaran jersi away kali ini. Banyak aktiviti menarik disediakan termasuk aktiviti yang berkait rapat dengan penyedaran awal kanser di mana ianya sangat berguna pada orang ramai yang hadir pada majlis tersebut", tambah Dr. Johan.
Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn. Bhd., Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah berkongsi beliau turut teruja dengan kolaborasi bersama Selangor FC dalam kempen Let's Cope with A Neon Hope sempena Hari Kanser Sedunia 2022.
“Saya amat gembira dapat bekerjasama dengan Selangor FC untuk kempen kesedaran kanser melalui pelancaran ‘Away’ kit 2022 kerana ia selari dengan nilai TDC Holdings Sdn. Bhd. yang sentiasa menitikberatkan usaha-usaha yang dapat memberi impak positif kepada komuniti. Kempen kesedaran kanser ini merupakan sesuatu yang sangat istimewa buat kami.
“Selain itu, TDC Holdings Sdn. Bhd. juga berbesar hati untuk meneruskan penajaan dengan Selangor FC yang bernilai RM 3.5 juta bagi tahun 2022. Kerjasama yang berterusan ini diharapkan dapat memberi kesinambungan terhadap inisiatif-inisiatif yang sedang dirancangkan di antara TDC Holdings dan Selangor FC untuk tahun ini dan pada masa yang akan datang.
“Produk Alithera yang turut dilancarkan pada hari ini merupakan antara jenama utama bagi jersi 'away' Selangor FC dan ianya minuman kesihatan terbaharu keluaran TDC Holdings Sdn. Bhd. yang mematuhi undang-undang Malaysia, kepatuhan terhadap SIRIM dan Pematuhan Syariah,”
Dalam masa yang sama, Red Giants Non-Fundable Collection (RGNFC) akan turut mengeluarkan koleksi kit yang terbaru bersempena pelancaran Away Kit Selangor FC 2022. Koleksi Home Kit edisi MKLK yang dilancarkan pada 18 Januari 2022 lalu juga telah dilihat mendapat sambutan hangat apabila terjual dengan nilai 2.0BNB bersamaan hampir RM 4,000.00. NFT Away Kit edisi #TerusBerjuang ini pula akan dikeluarkan dengan pendekatan yang sedikit berbeza bersesuaian dengan kempen kali ini.
Dapatkan jersi away edisi #TerusBerjuang musim 2022 di laman rasmi Selangorfc.com. Ayuh berikan sokongan anda dan jadi yang terawal untuk memilikinya!
Demi kebanggaan!